VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 29/08/2013

Niat tersirat Barat serang Damsyik

MEMANG tidak syak lagi Amerika Syarikat (AS) sudah bersiap sedia untuk menyerang Syria bila-bila masa sahaja kerana Naib Presiden Joe Biden semalam menegaskan kerajaan Bashar al Assad sememangnya bertanggungjawab di atas penggunaan senjata kimia dipinggir bandar Damsyik pada 21 Ogos lepas.

Kenyataan Biden itu dikeluarkan ketika pasukan pemantau senjata kimia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sedang berada di Syria masih belum selesai melaksanakan tugas kerana gagal memasuki kawasan kejadian.

Seperti mana dengan Biden, Setiausaha Negara John Kerry dan Setiausaha Pertahanan Chuck Hagel menegaskan tentera AS dan sekutunya sudah bersiap sedia untuk menyerang Syria dan hanya menunggu arahan daripada Presiden Barack Obama sahaja.

Presiden Obama pula bagaikan menunggu selesainya persidangan khas Parlimen Britain yang dijadualkan berlangsung hari ini untuk memberi kebenaran kepada Perdana Menteri David Cameron.

Nampak gayanya bukan sahaja AS sudah siap bersedia untuk berperang tetapi juga sekutu mereka dari Eropah seperti Britain, Perancis dan Jerman juga senada bahawa Damsyik perlu menerima akibatnya kerana dikatakan tiada sifat kemanusiaan membunuh rakyat sendiri dengan senjata kimia.

Berbeza dengan pencerobohan Iraq di mana Jerman tidak mengambil bahagian kerana tidak bersetuju dengan tindakan AS ataupun Libya hanya Britain dan Perancis yang mengetuai serangan, serangan terhadap Syria mendapat sokongan padu sekutu AS.

Tetapi sokongan sebulat suara sekutu AS ini tidak memberi makna campur tangan secara langsung kuasa besar adalah jalan terbaik demi mencari penyelesaian kemelut yang telah banyak mengorbankan rakyat negara yang tidak lama dahulu antara yang termakmur di bumi Arab.

Selama ini kuasa Barat yang hanya membiarkan negara lain seperti Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan Turki bertindak sebagai proksi membantu tentera pemberontak berdepan dengan tentera kerajaan Syria bagaikan mendapat kekuatan baru untuk campur tangan dengan berbekalkan alasan penggunaan senjata kimia.

Tetapi begitu ternyata sekali setelah hampir dua tahun perang meletus, kerajaan Bashar langsung tidak dapat dilumpuhkan oleh beberapa kumpulan tentera pemberontak yang diketuai oleh kumpulan terbesar dan diiktiraf oleh kuasa Barat iaitu Tentera Pembebasan Syria (FSA).

Tetapi hakikatnya, walaupun FSA dibantu dan diiktiraf oleh kuasa Barat, kumpulan pemberontak yang paling berkesan menentang tentera kerajaan Bashar adalah daripada kalangan pemberontak yang tidak bersekutu dengan FSA.

Apa yang dikhuatiri oleh Washington adalah jika kerajaan Bashar tumbang dalam keadaan ketika ini, maka Syria akan menjerumus seperti mana yang telah menimpa Iraq dan Libya di mana negara tersebut telah berpecah kepada beberapa wilayah kawalan kumpulan pemberontak berlainan.

Paling membimbangkan AS dan sekutu Eropahnya adalah kumpulan pemberontak Syria yang paling kuat dan berpengaruh pada ketika ini adalah kumpulan yang berpegang kepada prinsip perjuangan Islam seperti mana yang diamalkan oleh Ikhwanul Muslimin contohnya.

Sudah pasti AS tidak mahu Syria diterajui oleh kerajaan yang tidak selari dengan dasar luar Washington seperti mana yang berlaku ketika Presiden Mohamed Morsi memerintah Mesir. Tetapi jika dibiarkan Syria dalam keadaan sekarang, besar kemungkinan pemimpin FSA akan hanya mempunyai pengaruh yang sedikit dalam kerajaan baru pasca Bashar.

Justifikasi senjata kimia adalah dalil terbaik untuk digunakan oleh kuasa Barat sebagai alasan menyerang Damsyik dan seterusnya melumpuhkan kerajaan Bashar. AS dan sekutunya tidak akan menggunakan strategi sebagaimana yang diamalkan untuk menghapuskan Saddam Hussein pada tahun 2003 dengan menyerang secara besar-besaran.

Apa yang direncanakan adalah hanya untuk melancarkan serangan peluru berpandu terhadap sasaran bernilai tinggi seperti pangkalan tentera dan bangunan kerajaan Syria yang menjadi tonggak kuasa Bashar.

Washington berpendapat serangan sedemikian rupa dapat memberi tekanan kepada Bashar dan akhirnya melumpuhkan pemerintahan beliau sedikit demi sedikit. Runtuhnya kerajaan Bashar secara mendadak akan menimbulkan keadaan yang tidak menentu di Syria dan ini sudah pasti akan memberi peluang kepada pemberontak yang tidak selari dengan pendirian Washington mempengaruhi penubuhan kerajaan sementara.

Tetapi jika Bashar berundur secara berunding dan teratur maka keadaan ini akan memberi peluang kepada FSA mengambil bahagian dengan lebih bermakna kerana pada situasi sebegini sudah pasti Washington dan sekutunya mampu menggunakan pengaruh mereka sepenuhnya.

Dalam keadaan sebegini, Rusia dan China yang selama ini penyokong kuat Damsyik sudah pasti akan mengambil pendirian berkecuali kerana begitu sukar untuk mempertahankan Bashar selepas peristiwa serangan senjata kimia.

Sebenarnya rancangan AS yang merencanakan supaya FSA yang mempunyai peranan lebih besar pasca Bashar dan bukannya kumpulan pemberontak ala Ikhwanul Muslimin adalah selari dengan dasar yang diamalkan oleh Moscow dan Beijing apabila berhadapan dengan pemberontak Islam.

Ini adalah kerana kedua-dua negara tersebut masing-masing berhadapan dengan masalah pemberontak Islam di wilayah Chechnya dan Xinjiang yang sedang memperjuangkan kemerdekaan daripada kerajaan pusat Moscow dan Beijing.

Sudah pasti Rusia dan China tidak mahu pemberontak Islam mendapat tempat selepas era Bashar kerana keadaan sedemikian akan memberi isyarat kepada pemberontak Islam bahawa mereka juga boleh mencapai kemerdekaan di Chechnya dan Xinjiang.

Tidak syak lagi Damsyik akan dihujani oleh peluru berpadu dalam masa beberapa hari lagi dan episod menyayat hati ini bagaikan tidak boleh berhenti melanda dunia Arab yang telah bermula di Iraq sedekad yang lepas.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.